Friday, November 7, 2008

Al-Kauthar untuk Umat Rasulullah s.a.w.

Dari Aishah r.a. bahawa,
"Aku mendengar Rasulullah s.a.w. berkata semasa baginda bersama-sama para sahabatnya, "Aku akan berada di telagaku (telaga AL-Kauthar). Aku menunggu siapa diantara saudara kalian yang datang hendak minum telaga itu. Tetapi apabila umatku sedang minum di telaga itu, ada seorang yang larang dari meminumnya. Maka aku pun berkata, "Wahai Tuhanku... Orang ini adalah orangku dan daripada kalangan umatku." Lalu Allah s.w.t. berkata, "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak mengetahui apa yang mereka lakukan sesudah engkau wafat. Mereka kembali melakukan kepercayaan dan amalan buruk mereka!" (Hadis riwayat Muslim)

Dinyatakan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bahawa baginda berharap, baginda mempunyai ramai umatnya yang datang kepadanya untuk meminum telaga Al-Kauthar.

Dari Samurah bin Jundub bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sebenarnya bagi setiap orang Nabi ada sebuah telaga yang dikurniakan kepadanya. Setiap Nabi akan bermegah-megah, siapakah yang lebih ramai umat yang datang meminum di telaga tersebut. Aku berharap, aku menjadi Nabi yang paling ramai umat yang datang meminum..."

Thursday, November 6, 2008

Allah Lebih Menyayangi

Menurut riwayat para Ulama', apabila ditimbang amalan, tiba-tiba kurang satu amalan kebajikan sahaja bagi memberatkan timbangannya, Allah berkata kepada hambaNya itu, "Wahai hambaKu! Carilah di Padang Mahsyar ini... Mudah-mudahan ada orang yang boleh memberi kepadamu satu kebajikan!"

Lalu orang itu bertemu saudaranya, "Wahai saudaraku, kamulah saudaraku, anak kepada ibuku dan ayahku... Sesungguhnya aku kekurangan satu kebajikan sahaja bagi memberatkan timbangan, berilah kepadaku satu kebajikan sahaja supaya timbangan amal kebajikanku berat." Jawab saudaranya, "Sebenarnya aku juga takut apa yang kamu takutkan itu. Oleh itu, aku tidak boleh berikannya kepadamu."

Kemudian orang itu bertemu ibunya, "Wahai ibuku, kamulah ibuku, manusia yang kasih kepadaku di dunia dahulu... Aku berhajat kepada satu kebajikan sahaja bagi memberatkan timbangan amal kebajikan supaya aku selamat. berilah kepadaku satu kebajikan sahaja." Ibunya menjawab, "Ibu pun takut apa yang kamu takutkan itu. Ibu tidak boleh berikannya kepada kamu." Ibunya pergi meninggalkannya.

Lalu dia bertemu ayahnya, lalu berkata, "Wahai ayah, kamulah ayahku... Sebenarnya aku berhajat kepada satu kebajikan supaya memberatkan timbangan amalan kebajikan, supaya anakmu ini selamat." Ayahnya menjawab, "Sebenarnya ayah pun takut apa yang kamu takutkan itu. Ayah tidak boleh memberinya kepadamu."

Kemudian dia bertemu isterinya lalu berkata, "Wahai isteriku, sesungguhnya aku sudah menghabiskan umurku bersamamu. Aku sanggup bersusah keranamu... Aku kekurangan satu pahala kebajikan sahaja bagi memberatkan timbangan amalan kebajikan supaya aku boleh selamat. Adakah kamu sudi memberikan kepadaku satu pahala sahaja?" Isterinya menjawab, "Aku juga takut apa yang kamu takutkan itu. Aku tidak boleh memberikannya kepada kamu."

Kemudian dia bertemu anaknya, "Wahai anakku, kamulah anakku. Ayah berpanas kerana merehatkanmu... Sebenarnya ayah kurang satu kebajikan supaya memberatkan timbangan amal ayah. Tidakkah kamu sudi memberikan kepada ayah satu kebajikan?" Anaknya menjawab, "Sebenarnya aku juga takut apa yang ayah takutkan itu. Aku tidak boleh memberikannya kepada ayah." Lalu anaknya juga meninggalkannya.

Kemudian hamba tersebut kembali menghadap Allah s.w.t. dalam keadaan takut dan bimbang. Dia tidak dapat membawa satu kebajikan bagi memberatkan timbangannya. Hambanya berkata, "Wahai Tuhanku... Aku sudah meminta daripada saudaraku, ibuku, ayahku, isteriku dan anakku. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang dapat memberinya, walaupun satu kebajikan kepadaku!"

Allah s.w.t. berkata, "Aku lebih menyayangi kamu daripada mereka. Wahai Malaikat! Ambillah dia dan bawa dia ke syurga..."

(Hadis riwayat Ibnu Kathir dan lain-lain)

Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Wednesday, November 5, 2008

Apabila Pahala Kita Diambil oleh Orang Lain

Melakukan dosa adalah sebahagian daripada kita, sama ada kita sedar ataupun tidak. Perkara yang lebih membebankan adalah apabila pahala kita diambil oleh orang lain di Padang Mahsyar pada Hari Kiamat nanti. Ia boleh terjadi apabila kita pernah menyakiti hati orang lain semasa hayat kita di dunia. Jadi kita digalakkan untuk bermaafan selagi masih hidup, supaya pahala-pahala kita tidak diberikan kepada orang lain. Dan lebih padah lagi, kita pula yang akan memikul dosa-dosa orang lain jika kita sudah kehabisan pahala...

Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesiapa yang pernah menzalimi saudaranya berhubung dengan maruahnya ataupun apa sahaja, maka minta halallah daripadanya (orang yang dizalimi). Sebelum tiba masa (di Padang Mahsyar), di mana tiada lagi wang atau dirham yang boleh menebus segala kezaliman itu. Pada masa itu, segala kezaliman itu disebut! Apabila orang yang menzalimi itu mempunyai amalan yang soleh, maka diambil dari pahala amalan itu sekadar (hanya untuk) kezaliman yang telah dilakukan, kemudian (pahala itu) diberikan kepada orang yang dizalimi... Apabila orang yang menzalimi itu tidak mempunyai pahala dari amalan-amalan yang baik, maka diambil dosa orang yang dizalimi itu, lalu dibebankan (dosa itu) ke atas orang yang menzalimi itu..." (Hadis riwayat Bukhari)

Dari Abu Hurairah bahawa,
"Rasulullah s.a.w. pernah bertanya, "Kamu sekalian tahukah, siapa itu orang muflis?" Para sahabat menjawab, "Orang muflis di kalangan kami adalah orang yang tiada wang dan tiada harta lagi." Rasulullah s.a.w. berkata, "Sebenarnya orang muflis di kalangan umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi dia pernah memaki orang, menuduh orang, memakan harta orang, membunuh orang dan memukul orang. Disebabkan itu, pahala-pahalanya itu dibahagi kepada orang tersebut (orang yang dizalimi)... Apabila habis pahala kebajikannya, sedangkan dosa kepada orang lain belum dibayar, maka diambil pula dosa-dosa orang itu (orang yang dizalimi) dan dicampakkan (dosa itu) ke atasnya. Kemudian dia dihumbankan ke dalam neraka!" (Hadis riwayat Muslim)

Tuesday, November 4, 2008

Musibah dan Kalimah Istirja'

Sesiapa yang ditimpa musibah atau kecelakaan, hendaklah dia mengucapkan perkataan yang ditentukan oleh Allah s.w.t, iaitu perkataan Istirja'.

Kalimah Istirja' adalah "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun".

Maksudnya adalah "Kami adalah milik Allah dan kepadaNya jualah kami kembali ".

Kita harus faham bahawa perkataan "Innaa lillahi" adalah ketauhidan serta pengakuan akan kehambaan.

Perkataan "Wa innaa ilaihi raaji'uun" pula adalah pengakuan bahawa Allah yang membinasakan kita dan Dia juga yang membangkitkan kita semula.

Dibaca dan direnungkan kalimah ini, supaya syaitan tidak mampu mempengaruhi fikiran dan hati hambaNya yang terkena musibah, iaitu hambaNya tidak mempunyai fikiran buruk serta diri berada dalam keadaan tenang.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Siapa yang ditimpa musibah lalu ia berkata: "Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepadaNya kita kembali. Ya Allah! Kurniakanlah kami pahala atas musibah ini, dan berilah kami ganti dengan yang lebih baik daripadanya..." Allah akan memberikan pahala kepadanya, dan akan memberikan ganti yang lebih baik."

Dengan membaca kalimah Istrija' ini, hambaNya termasuk dari golongan yang mendapat petunjuk, juga memperoleh rahmat dan belas kasihan dari Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berfirman:
"Dan berilah berita gembira bagi orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikkan dari Tuhan mereka serta rahmatNya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayahNya." (Al-Baqarah, Ayat 155-157)

Dijelaskan dalam sebuah hadis Qudsi,
"Maka berfirman Allah s.w.t. kepada para MalaikatNya: "Apakah yang diucapkan oleh hambaKu itu?" Malaikat menjawab: "Dia memujiMu dan membaca Istirja'." Maka Allah s.w.t. berfirman: "Bangunkanlah untuk hambaKu itu sebuah rumah di syurga dan rumah itu diberi nama dengan rumah pujian." (Hadis riwayat Abu Musa)

Thursday, October 30, 2008

Asmaa Ul Husnaa: Ar-Rahim

Ar-Rahim bermaksud Penyayang. Allah s.w.t. mempunyai sifat Maha Penyayang kepada orang Mukmin.

"Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Al-Anfaal)

Ia juga melambangkan keselamatan orang yang menerimanya, daripada sebarang kerugian dan kehilangan serta merahmati orang tersebut dengan petunjuk, keampunan dan hidayah yang benar.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Siapa yang tidak ada rasa kasih sayang terhadap sesama manusia, maka dia tercabut daripada rahmat Allah."

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Siapa yang tidak menghormati orang yang lebih tua di antara mereka, tidak menunjukkan kasih sayang kepada yang lebih muda atau melindungi hak-hak Ulama', sesungguhnya dia bukan daripada (golongan ) kami."

Sifat manusia yang ketiga dengan berpandukan Asmaa Ul Husnaa, haruslah mempunyai sifat penyayang sesama manusia kerana apabila kita bersifat penyayang, penduduk langit juga turut menyayangi diri kita.

Rasulullah s.aw. bersabda:
"Sayangilah para penghuni bumi, agar penghuni langit menyayangi kalian."

Hadis Rasulullah Tentang Malaikat Datang untuk Mengajar Urusan Agama

Kedatangan Malaikat Jibril menjelma sebagai manusia adalah kerana untuk menyampaikan dan mengajarkan soal agama kepada Rasul dan umatnya mengenai 4 perkara. Ia adalah: ISLAM, IMAN, IHSAN (perkara yang baik) dan KIAMAT.

Berikutan adalah sebuah kisah ketika baginda bersama sahabatnya pada zaman itu...

Dari Umar r.a. katanya:
"Pada suatu hari sedang kami duduk disisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang berpakaian sangat putih kainnya, sangat hitam rambutnya, tidak pula kelihatan seperti tanda-tanda orang yang sedang di dalam perjalanan (perlayaran), dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w, lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah s.a.w. dan meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua peha Rasulullah s.a.w.

Kemudian dia berkata: "Wahai Muhammad! Khabarkanlah kepadaku tentang ISLAM..." Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: "Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau mengeluarkan zakat, dan engkau berpuasa Ramadhan, dan engkau mengerjakan haji di rumah Allah jika engkau sanggup pergi padanya." Dia berkata: "Benarlah engkau!"

Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya, dan dia pula yang membenarkannya.

Katanyanya lagi: "Maka khabarkan kepadaku tentang IMAN..." Rasulullah s.a.w. menjawab: "Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan para MalaikatNya dan segala KitabNya dan para RasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada Takdir baikNya dan burukNya." Dia berkata: "Benarlah engkau!"

Kemudian dia bertanya lagi: "Maka sekarang khabarkanlah kepadaku tentang IHSAN..." Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau."

Akhirnya dia berkata (meneruskan pertanyaannya lagi): "Maka khabarkan kepadaku tentang hari KIAMAT..." Rasulullah s.a.w. menjawab: "Tidaklah yang datang daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya." Katanya: "Maka itu khabarkan kepadaku dari tanda-tanda sahaja..." Rasulullah s.a.w. menjawab: "Tanda-tandanya itu ialah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan."

Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam seketika.

Setelah itu, Rasulullah s.a.w. bertanya: "Wahai Umar! Adakah engkau tahu siapa orang yang bertanya itu?" Kataku : "Allah dan RasulNya yang lebih tahu." Rasulullah s.a.w. berkata: "Sesungguhnya itulah dia, Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu."

(Riwayat Muslim)

Syafaat

Erti syafaat adalah meminta sesuatu yang baik kepada orang lain. Syafaat Rasulullah s.a.w. pada hari Akhirat adalah syafaat yang terbesar yang dapat menolong manusia untuk memasuki syurga.

Diriwayatkan Ahmad, dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Aku diberi pilihan sama ada hendak memberi syafaat ataupun memasukkan separuh umatku ke dalam syurga. Lalu aku memilih memberi syafaat kerana ia lebih umum dan lebih lengkap. Adakah saudara sekalian menganggap syafaat itu bagi orang-orang mukmin yang ulung...? Tidak! Sebenarnya ia adalah bagi umatku yang MELAKUKAN DOSA dan MELAKUKAN KESALAHAN!"

Dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Syafaat itu adalah bagi orang-orang yang melakukan dosa besar di kalangan umatku." (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

Hadis di atas ini dapat memberikan kita pengertian bahawa orang-orang yang mendapat syafaat itu adalah dari golongan yang mempunyai dosa. Dan dosa yang dilakukan oleh seseorang itu adalah dosa besar yang dapat mencampakkan diri ke dalam neraka.

Orang yang akan menerima syafaat itu adalah dari keizinan Allah. Jika diizinkan dari Allah, orang yang menerima azab, boleh terkeluar dan terselamat dari neraka. Begitu juga orang yang akan dimasukkan ke dalam neraka.

Dari Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Manakala ahli neraka yang sudah dihumbankan ke dalam neraka, keadaan mereka di dalam neraka itu tidak mati dan tidak hidup. Tetapi manusia dibakar dengan api neraka kerana dosa-dosa mereka. Lalu Allah mematikan mereka sehingga mereka menjadi arang, lalu diizinkan memberi syafaat kepada mereka. Kemudian mereka diangkut secara kumpulan yang berbeza. Mereka ditaburkan di dalam sungai-sungai syurga. Seterusnya dikatakan, "Wahai ahli syurga, siramlah mereka." Lalu mereka menjadi tumbuh sebagaimana tumbuh benih yang dibawa banjir." (Hadis riwayat Muslim)

Walaubagaimanapun syafaat itu akan diberikan kepada mereka yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, iaitu mempercayai setiap perkara adalah hanya dari Allah semata-semata.

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Setiap Nabi dikurniakan satu doa yang dimakbulkan Tuhan dan setiap Nabi sudah pun menyampaikan permohonan masing-masing. Manakala aku menyimpan doa itu untuk memberi syafaat kepada umatku pada hari kiamat nanti. Syafaat itu akan dicapai dengan izin Allah iaitu bagi sesiapa yang mati di kalangan umatku dalam keadaan dia tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Golongan yang diizinkan oleh Allah s.w.t. dalam memberi syafaat adalah para Nabi, para Ulama' dan mereka yang mati shahid.

Dari Uthman bin Affan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Pada hari kiamat nanti, ada tiga golongan yang boleh memberi syafaat iaitu para Nabi, para Ulama' dan orang-orang yang mati Shahid."

Ada juga syafaat para Malaikat dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran.

Allah s.w.t. berfirman:
"Dan berapa ramai Malaikat yang ada di langit, syafaat mereka sedikit pun tidak berguna kecuali sesudah Allah mengizinkan pada sesiapa yang dikehendaki dan diredainya." (An-Najm, Ayat 26)

Bagi sesiapa yang hendak tergolong dalam pemberian syafaat Rasulullah s.a.w. pada hari akhirat nanti, hendaklah baca doa di bawah ini... Juga sebuah doa yang selalu kita dengar dari radio selepas berkumandang sebuah azan.

Dari Jabir bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Orang yang berdoa ketika mendengar azan, beliau layak menerima syafaatku pada hari kiamat nanti. Doa itu adalah: "Ya Allah! Tuhan yang telah memperkenankan seruan azan yang sempurna ini... Dan solat yang akan didirikan... Kurniakanlah kepada penghulu kami Nabi Muhammad... Kelebihan, kemuliaan dan darjat yang tinggi... Dan kurniakanlah pula kepadanya maqam yang terpuji yang telah Engkau janjikan..." (Hadis riwayat Bukhari)

Tuesday, October 21, 2008

Hadis Rasulullah s.a.w. Tentang Marah

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Berikanlah wasiat kepada aku..." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah engkau marah." Kemudian dia mengulangi (bertanya lagi) beberapa kali. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah engkau marah." (Riwayat Bukhari)

Hadis ini mempunyai nilai akhlak yang utama iaitu melarang seseorang dari marah, kerana kemarahan bukan menambahkan kebaikan tetapi memburukkan lagi keadaan. Dan kerana itu jugalah baginda mengulanginya dengan jawapan yang sama sebagai satu WASIAT.

Memang tidak dinafikan bahawa kemarahan itu wujud dalam diri kita tidak kira masa dan tempat.

Dielakkan barasa marah kerana ia boleh membawa kepada pertengkaran dan permusuhan sesama kita.

Juga janganlah marah kerana membalas dendam atau hanya menurut hati dan perasaan semata-mata. Tetapi marah itu biarlah bertempat dan mempunyai sebab-sebab yang munasabah.

Cara baginda marah adalah dengan cara yang sopan, juga kerana untuk menegakkan sesuatu kebenaran.

Berikutan adalah sebuah kisah semasa baginda berada di dalam masjid...

Pada suatu masa ketika baginda di dalam masjid, baginda terlihat kahak di qiblat. Baginda tidak hanya diam membisu bahkan melahirkan tanda kemarahannya seraya berkata: "Apabila salah seorang kamu berada di dalam sembahyang, maka ketahuilah bahawa Allah dihadapannya. Dan keranaNya, maka janganlah dia membuangkan kahaknya di hadapanNya sewaktu dalam sembahyang."

Cara untuk mengelakkan rasa marah adalah dengan mengangkat wuduk.

Rasulullah s.a.w. menerangkan: "Bahawa kemarahan itu dari syaitan. Dan sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadam dengan air. Apabila seorang daripada kamu berasa marah, maka hendaklah dia berwuduk."

Friday, September 26, 2008

Hujan...

Telah turun hujan...
Nikmat kebesaran Tuhan...
Selepas azan Subuh kedengaran...
Selepas burung-burung berkicauan...
Untuk hari semalaman...
Seperti tanda kelihatan...
Pada hamba-Nya sekelian...
Amal ibadah dilakukan...
Untuk dapatkan ganjaran...
Sebagaimana nikmat yang dijanjikan...
Setelah diberi peringatan...
Ditulis di dalam Al-Quran...
Kepada hamba-Nya yang inginkan balasan...
Di akhir malam Ramadhan...
Adakah ia petunjuk dari Tuhan...
Dalam erti kata Ihsan...
Tiada siapa yang dapat pastikan...
Hanya teka-teki bermain di fikiran....

26 Ramadhan 1429 Hijriah.

Wednesday, September 24, 2008

Rahsia Di Sebalik Puasa Isnin Dan Khamis

Berpuasa pada hari Isnin dan hari Khamis juga dikirakan sebagai puasa sunat.

Diriwayatkan oleh Ahmad dari Abu Hurairah:
"Bahawa Rasulullah s.a.w. selalu berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, lantas ditanyakan orang kepada baginda kenapa baginda berbuat demikian. Rasulullah s.a.w. menjawab: "Sesungguhnya malam-malam itu dipersembahkan pada setiap Isnin dan Khamis, maka Allah s.w.t. berkenan mengampuni setiap orang Islam, kecuali orang-orang yang bermusuhan (anatara mereka). Allah s.w.t. berfirman: "Tangguhkanlah kedua-dua mereka."

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya amalan manusia dibentangkan pada hari Isnin dan hari Khamis." (Riwayat Abu Daud)

Kerana itu Rasulullah s.a.w. suka jika amalannya dibentangkan dalam keadaan berpuasa.